Skip to content

 

Pernah tak rasa dunia ni macam tak adil? Macam semua orang dapat perhatian, kejayaan, dan kebahagiaan—kecuali kita. Sedihnya, kalau kau fikir dunia ini kejam sebab tidak layan kau macam watak utama, tapi kenyataannya : Dunia memang tak kisah pun pasal kau.

Matahari tidak terbit semata-mata untuk sambut kau bangun pagi. Hujan tidak berhenti turun semata-mata sebab kau lupa bawa payung. Dan, satu fakta ringkas untuk semua: Kamu, saya, kita semua—tidak istimewa.

Ya, mungkin ibu bapa kita kata kita ni ‘anak emas’, kawan-kawan puji kita ‘special’, dan media sosial penuh dengan “self-love” dan “you are unique”. Tapi hakikatnya, dalam lautan manusia yang mencecah 8 bilion ni, kita cuma seketul debu kecil yang hampir tidak kelihatan.

Realiti Pahit: Semua Orang Ada Masalah

Kadang-kadang kita rasa dunia ni kejam dengan kita saja. Dimarahi bos, assignment bertimbun, beban hutang, cinta tak berbalas. Tapi cuba berhenti sejenak dan pandang sekeliling. Semua orang membawa beban sendiri. Bezanya, ada orang pandai sorok, ada yang tetap tersenyum walaupaun dalam hati sedang dilanda tsunami.

Kenyataan ini bukan untuk membuat kita rasa lebih lemah, tapi untuk mengingatkan kita bahawa hidup ni tidak pernah menjanjikan kesenangan. Tapi tidak bermakna ia juga akan kekal susah selamanya.

Jadi, Kenapa Perlu Terima Bahawa Kamu Tidak Istimewa?

Bila kita terima kenyataan bahawa kita bukan pusat alam semesta, kita akan belajar untuk jadi lebih rendah hati. Kita sedar yang dunia ni tidak berhutang apa-apa dengan kita. Tiada siapa yang wajib layan kita macam VIP. 

Nak berjaya? Usaha. 

Nak dihargai? Tunjukkan nilai. 

Nak bahagia? Cipta sendiri.

Kesedaran bahawa kita tidak istimewa juga memberi kita kebebasan. Bebas dari tekanan untuk jadi “sempurna”. Bebas dari beban untuk sentiasa “menang”. Sebab bila kita sedar semua orang tengah “struggle”, kita tahu yang kita tidak keseorangan.

Tapi… Bukan Bermaksud Hidup Kamu Tidak Bermakna

Tidak istimewa bukan bermaksud tidak bernilai. Setiap kita ada peranan dalam hidup ni, walaupun sekecil mana pun. Mungkin kita bukan Elon Musk, tapi mungkin kita orang yang membantu orang yang susah. Memang kita tidak ubah dunia, tapi mungkin kita ubah hari seseorang jadi lebih baik.

Akhirnya, apabila kita berhenti mencari pengesahan dari dunia dan mula terima diri seadanya, kita jumpa makna sebenar dalam hidup ni. Bukan sebab kita istimewa, tapi sebab kita hidup dengan tujuan yang kita cipta sendiri.

Kamu tidak istimewa. Saya pun tidak. Tapi itu bukan alasan untuk berhenti berusaha. Sebab itulah kenapa kita harus terus melangkah. Sebab dalam dunia yang tidak peduli ini, kita belajar untuk peduli. Dan mungkin, itu yang membuat kita benar-benar “istimewa” dengan cara kita sendiri.

 

 

Scroll to Top