Cuba bayangkan: bangun setiap pagi, melangkah keluar rumah sebelum matahari terbit, duduk di pejabat selama 8 jam (kadang-kadang lebih), ulang rutin ini selama 40 tahun… dan akhirnya bersara dengan pencen yang cukup-cukup makan. Inilah realiti yang kita semua hadapi. Tapi persoalannya, adakah ini kehidupan yang kita mahu, atau sistem yang memaksa kita menjadi robot ekonomi?
Bersara: Mitos atau Realiti?
Saya mula bekerja seawal umur 20 tahun, selepas menamatkan pengajian di universiti. Sebagai pemegang ijazah, gaji pertama saya hanyalah RM300 sebulan. Ya, RM300! Tinggal di bandar besar, menyewa bilik kecil, makan tanggung sendiri – kalau nasi lauk kicap dan telur itu dianggap mewah, bayangkan realiti ketika itu. Lebih perit, saya mula bekerja dengan hutang PTPTN yang sudah menanti.
Pada waktu itu, saya tertanya-tanya: dengan gaji RM300, bila saya boleh bersara?
Sekarang, selepas lebih 10 tahun bertukar-tukar kerja, gaji saya sudah lebih baik. Syukurlah, saya mampu bayar hutang PTPTN, tapi ironinya, hutang lain pula datang. Kereta, rumah, kad kredit – besar periuk nasi, besar juga keraknya. Dengan pertambahan hutang, harapan untuk bersara awal semakin pudar.
Sistem yang Tidak Peduli
Realitinya, sistem ekonomi kita memang tidak dicipta untuk membantu kita bersara awal. Ia direka supaya kita terus bekerja, membayar cukai, dan menyumbang kepada kitaran ekonomi. Anda dapat gaji lebih besar? Tahniah, tapi kos hidup juga naik. Harga rumah melambung, kos pendidikan anak-anak semakin tinggi, dan simpanan KWSP pula seolah-olah hanya cukup untuk bertahan beberapa tahun sahaja selepas bersara. Itu pun kalau belum habis di keluarkan.
Realiti Hidup Pekerja Malaysia
Kadang-kadang, kita boleh duduk termenung dengan situasi kerja hari ini.
-
- Gaji kecil, kerja besar. Gaji RM300 dulu pun bos minta kita buat kerja macam CEO.
-
- Hutang tak kenal umur. Dah selesai hutang PTPTN, masuk pula hutang kereta, rumah, kad kredit, dan entah apa lagi.
-
- Bersara? Macam mimpi. Bila tengok baki simpanan KWSP, rasa macam lebih baik sambung kerja jadi pemandu e-hailing daripada duduk goyang kaki di rumah.
Alternatif: Keluar dari Lingkaran
Persoalannya, adakah kita perlu ikut sistem ini tanpa soal? Jawapannya: kita boleh memilih, tapi ia perlukan pengorbanan.
-
- Simpanan dan Pelaburan Awal: Kalau boleh ulang masa, saya akan mula menyimpan walaupun hanya RM50 sebulan. Pelaburan kecil hari ini boleh jadi penyelamat besar di masa depan.
-
- Pendapatan Pasif: Cari cara untuk jana pendapatan selain daripada gaji. Sama ada jual produk online, buat pelaburan saham, atau sewa rumah.
-
- Hidup Minimalis: Gaji besar tak semestinya gaya hidup mewah. Adakah anda betul-betul perlukan telefon RM6,000 untuk buat panggilan dan buka TikTok?
Adakah Anda Mahu Hidup Seperti Ini?
Jika kita tidak mula mengubah cara hidup dan perancangan kewangan kita, sistem akan terus “menelan” kita. Kita akan terus bekerja sampai tua, membayar bil, melangsaikan hutang, dan akhirnya bersara tanpa apa-apa. Persoalannya: Adakah kita bekerja untuk hidup, atau hidup untuk bekerja?
Sampai sekarang, saya masih mencari jalan untuk keluar dari perangkap ini. Setiap kali cuba menyimpan lebih, ada sahaja perkara lain yang memerlukan duit – insurans, kos anak-anak, dan pelbagai lagi. Tapi satu perkara pasti: saya tidak mahu hidup ini hanya untuk kerja.
Jadi, adakah kita perlu bekerja sampai tua? Pilihan di tangan anda. Cuma jangan lupa, hidup ini bukan tentang kerja semata-mata. Kalau kita hanya mengejar wang tanpa menikmati hidup, kita sebenarnya hanya wujud – bukan hidup.