Skip to content

Kalau diberi pilihan, anda pilih apa? Gaji RM9,000 hasil kerja kampung atau kerja di bandar dengan ijazah di tangan, tapi poket kosong hujung bulan? Itulah dilema saya selepas mendengar cerita kawan-kawan kampung minggu lepas. 

Sebagai orang kampung, kami semua pernah hidup cara orang tua kami. Tapi bila dewasa, ramai yang berhijrah ke bandar, termasuk saya. Kerja bandar katanya lebih menjamin masa depan. Namun, selepas mendengar cerita kawan-kawan yang masih bekerja kampung, saya mula tertanya-tanya, betulkah keputusan saya ini?

Seorang kawan berkongsi, jika harga kelapa sawit tinggi, pendapatan mereka boleh cecah sembilan ribu sebulan. Ya, sembilan ribu! Bayangkan bangun pagi, hirup udara segar, terus ke kebun, dan pulang petang dengan dompet tebal. Tapi untuk capai angka itu bukan mudah—semuanya mereka urus sendiri, dari memotong buah hingga menjual hasil.

Mendengar cerita itu, saya hanya mampu menelan air liur. Saya yang bekerja di bandar, dengan segulung ijazah yang kononnya tiket kejayaan, tak pernah merasa angka sebesar itu. Malah, setiap kali hujung bulan, saya lebih kenal baki RM10 dalam dompet daripada rasa cukup. Kawan saya pula, walaupun pendapatan mereka tak konsisten, kos sara hidup mereka lebih rendah. Mereka ada lebihan untuk simpanan. Saya? Lebihan saya cuma bil tertunggak.

Tapi sebelum saya terlalu iri hati, kawan saya menegur, “Kamu orang bandar senang. Pendapatan tetap, cuti hujung minggu, kerja taklah memenatkan badan sangat. Kami ni, mahu cuti pun susah. Kalau sakit pun, kerja kena jalan sebab buah sawit tak tunggu kita.”

Saya termenung. Dari satu sudut, memang kerja kampung nampak lebih menarik: pendapatan tinggi, jadi bos sendiri, dan tak ada tekanan kesesakan lalu lintas. Tapi kawan saya betul. Cabaran mereka juga besar, terutama dari segi fizikal dan ketidakpastian pendapatan. Kerja kampung memang penat. Tapi jujur, saya rasa kerja bandar lebih penat… dengan tekanan mental membayangkan hujung bulan yang tak pernah hujung.

Namun, jauh di sudut hati, saya tak boleh menafikan rasa sinis terhadap diri sendiri. Bertahun-tahun belajar di universiti, menghadapi peperiksaan, dan membayar hutang PTPTN hanya untuk menyedari, “Oh, rupa-rupanya kerja potong buah sawit boleh gaji lagi tinggi.” Kadang-kadang rasa macam ijazah saya lebih sesuai jadi pembalut nasi lemak saja, sebab ia nampaknya tak membantu baki akaun bank saya.

Saya sendiri ada tanah di kampung. Pernah terlintas untuk balik dan mengusahakannya. Tapi masalahnya, saya tiada modal, tiada pengalaman, dan tiada masa untuk berulang-alik. Lagipun, saya masih bergelut membayar komitmen bulanan dari pendapatan kerja hakiki. Kadang-kadang saya rasa macam bekerja hanya untuk membayar hutang. Roda yang sama berputar setiap bulan dan tahun. Semakin lama semakin penat kerana putaran roda yang tidak pernah berhenti atau berubah. 

Walaubagaimanapun, sama ada kerja kampung atau kerja bandar, kedua-duanya hadir dengan kelebihan dan cabaran tersendiri. Hakikatnya, bukanlah tentang berapa banyak yang kita miliki, tetapi sejauh mana kita mampu mensyukuri apa yang ada. Hidup ini singkat—terlalu singkat untuk kita membebani fikiran dengan perkara-perkara yang tidak penting. Kita semua berusaha untuk tujuan yang sama: meneruskan kehidupan. Belajarlah untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki dan nikmati setiap detik perjalanan ini. Tidak salah untuk mengimpikan sesuatu yang lebih baik, tetapi biarlah ia berpijak di bumi nyata dan tidak berlebihan. Hidup ini adalah seni keseimbangan antara usaha dan keikhlasan menerima. Apa pun pilihan anda, ingatlah bahawa kebahagiaan bukan terletak pada tempat anda berada, tetapi bagaimana anda menghargai apa yang anda ada.

Kesimpulan?
Kalau anda sedang mempertimbangkan untuk bekerja di bandar atau kampung, tanya diri sendiri: 

Apa yang anda mahu dalam hidup?
Tak ada jalan yang mudah. Sama ada kerja kampung atau kerja bandar, kita kena usaha untuk capai apa yang kita inginkan. Tapi kalau anda tanya saya, mungkin kerja kampung bukanlah idea yang buruk… asalkan ada stamina, tanah sendiri, dan jiwa yang cukup kental. Kalau tak, teruslah bekerja di bandar sambil pura-pura bahagia dengan gaji ‘cukup makan’.

 

Scroll to Top